Kini adalah masa dan medan terbaik buat negara-negara Islam dan umatnya, memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam serta mengetengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi dunia. Perbankan Islam yang tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal meneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan ciri-cirinya yang tersendiri menyaingi sistem kewangan Barat.
Kelebihan sistem kewangan Islam ialah ia bersifat adil kepada pelabur dan pengusaha, di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan dunia seperti yang berlaku sekarang ini.
Islam sangat melindungi penganutnya dan memerangi segala bentuk sistem dan struktur yang berteraskan riba’ yang memudaratkan manusia.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang Yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”
(Al-Baqarah : 278-279)
Contoh kegiatan dalam sistem ekonomi Barat yang bergerak dalam masyarakat hari ini ialah ceti haram atau along. Terdapat ceti haram yang menyalahgunakan lesen meminjam wang dan kadar bayaran yang dikenakan kepada peminjam melebihi 18 % setahun. Merujuk laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), terdapat 1600 kes ceti haram direkodkan dalam tempoh kurang dari dua tahun di mana mereka memperoleh pendapat sebanyak 12 juta sehari.
Kemelesetan ekonomi dunia boleh menyebabkan keretakan institusi kekeluargaan, meningkatnya jumlah jenayah, kes bunuh diri, menjual maruah diri, penindasan dan keruntuhan moral. Oleh itu, penting kepada kita untuk melakukan perbelanjaan berhemah dan menjauhi budaya berhutang dan riba’ bagi mengelakkan kehancuran masa depan individu, masyarakat dan Negara.
Cara untuk menjadikan ajaran Islam teras ekonomi Negara:
1) Bersama-sama mendokong produk kewangan Islam yang sedang dilaksanakan sekarang bagi memartabatkan sistem ekonomi Islam. Contoh. Ar-Rahnu, Takaful Kifalah.
2) Bersama-sama melemahkan produk-produk kewangan Barat yang bertentangan dengan syariat Islam, contoh ceti-ceti Haram.
3) Meningkatkan kefahaman masyarakat tentang keistimewaan sistem ekonomi Islam dan bahaya sistem ekonomi Barat.
Dalam skop kita sebagai penuntut pun tidak terkecuali merasa tempias krisis ini. Ini kerana permasalahan yang membawa kepada riba’ ini berpunca daripada budaya berhutang. Jika di kampus, kita sering berhutang akibat sikap boros tidak hairan satu hari nanti apabila tamat pengajian, kita akan terperangkap di dalam dunia riba’. Oleh itu, gunakanlah elaun yang diberikan dengan hikmah dan berhemat. Kita seharusnya beruntung kerana tidak diberi pinjaman PTPN yang menyebabkan kita berhutang dengan kerajaan. Oleh itu, hargailah kesenangan yang kita kecapi ini sebelum Allah menariknya. Renung-renungkanlah.
Info dari Ustaz Ahmad Tarzidi bin Ahmad Tamezi
Unit Kebajikan dan Khidmat Sosial Masjid Wilayah Persekutuan, K. Lumpur